Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
Seorang
lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan
sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]
Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang
menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan
baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.
Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”
Jahimah menjawab: “Ya.”
Lalu Rasulullah bersabda:
“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di
bawah tapak kakinya.”[2]
Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak
untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki
hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti
melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang
dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga
telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak
lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam
peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3]
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari
awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada
kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk
menerima balasan). [Luqman 31:14]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah
melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]
Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda
lebih besar daripada seorang ayah:
1.
Ibu terpaksa
menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental,
dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan
firman-Nya yang bermaksud: “…ibunya telah mengandungnya dengan
menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]
2.
Kesusahan
ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan
yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi
kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung
kelemahan demi kelemahan…”
3.
Kesusahan ini
mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan
telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” Kesusahan ini
diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya
(pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata:
“Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang
dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]
Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi
Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan
seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.
Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya
baginya bagaikan tunggangan yang hina.”
Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas
budinya?”
Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni
ketika ibunya sedang melahirkannya).”[4]
4. Setelah
melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya
anaknya tidak
sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia
menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu
akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya
dikembalikan kepadanya.
Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan
kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah
ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan
dibunuh oleh Fir’aun: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam
pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun),
maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau
merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami
akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang
daripada Rasul-rasul Kami. Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang
Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka;
sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah. Dan (ketika
melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun: “(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan
bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan
dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.”
Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya). Dan
(sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia
nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika
tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram),
supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).
Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka
pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang
orang ramai tidak menyedarinya.
Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada
perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu),
kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun): “Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk
sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas
kepadanya?” Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang
tenteram hatinya dan tidak
berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui
bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi
kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang
demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]
5. Sekalipun dengan segala pengorbanan
ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan, seorang anak lazimnya akan lebih cenderung
untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika
menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah
dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan
peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak
menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.
Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan
Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal
dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang
ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa,
hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.
Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah,
seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, “Saya
meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang
orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan
saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”
Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”
Dia menjawab: “Tidak.”
Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah
kepada-Nya semampu mungkin.”
Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn
‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih
hidup?”
Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling
mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan
berbakti kepada ibu.”[5]
[1] Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab
al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).
[2] Hasan
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani
dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab
kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).
[3] Sayang
sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan
mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah
kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini
mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa
apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang
lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan
datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi
manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.
[4] Sanad
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh
al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.
[5] Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan
ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah –
hadis no: 2799
sumber :http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/ibubapa%20sunnah%203.htm
Tidak ada komentar:
Posting Komentar